Sunday 14 October 2012


SISTEM PENGKELASAN PERPULUHAN DEWEY


DEFINISI
Satu sistem yang logik bagi penyusunan ilmu pengetahuan.

TUJUAN
* Untuk menyusun bahan-bahan perpustakaan secara teratur di atas rak supaya mudah disimpan dan didapatkan kembali.


* Untuk menyusun entri-entri katalog dan indeks.

OBJEKTIF
· Membantu pengguna mengenalpasti dan mengesan sesuatu karya melalui nombor panggilan.

Bagi tujuan ini sebarang kaedah pernomboran atau tanda adalah mencukupi, asalkan ada persamaan diantara nombor/tanda pada bahan dan pada entri katalog.

· Mengelompokkan bahan-bahan mengenai sesuatu perkara/subjek dalam satu kelompok yang sama.

NOTASI

Setiap skim pengkelasan menggunakan satu sistem simbol sebagai tanda yang mewakili kelas-kelas, kelas-kelas kecil dan pembahagian-pembahagiannya. Sistem simbol yang dipanggil notasi adalah untuk menunjukkan secara ringkas, perkara dan aspek dan kadangkala perkaitannya disamping menyediakan satu susunan yang logik dan teratur. Skim Pengkelasan Perpuluhan Dewey menggunakan notasi tulin (angka Arab); skim Pengkelasan Library of Congress menggunakan notasi campuran (huruf besar dan angka-angka Arab); Universal Decimal Classification menggunakan notasi tulin (angka Arab).



PANDUAN MENGKELAS

1. Tentukan kandungan subjek , dan kenalpasti konsep utama dalam bahan yang dikelas.

2. Pilih nombor yang sesuai dari skim pengkelasan.

3. Jika sesuatu karya itu mengandungi lebih dari satu subjek atau lebih dari satu aspek, pilih satu nombor sahaja, atau pilih satu nombor yang umum yang meliputi subjek-subjek dan aspek-aspek yang berkaitan.

4. Pilih satu nombor yang memberi manfaat kepada pengguna bagi sesuatu karya yang boleh dikelaskan dalam lebih dari satu nombor.

5. Kelas mengikut subjek, diikuti dengan bentuk, kecuali bahan sastera di mana bahasa dan bentuk sastera diberi keutamaan.

6. Gunakan nombor yang paling spesifik jika ada.

7. Indeks digunakan untuk membantu pengkelas mengesan nombor kelas yang spesifik. Sentiasa semak nombor dalam skedul untuk nombor-nombor yang diperolehi dari indeks.

8. Kelas di bawah subjek utama jika boleh ditentukan,

9. Kelas di bawah subjek yang pertama jika subjek utama tidak dapat dikenalpasti. Bagi skim Pengkelasan Perpuluhan Dewey, pertama bermaksud kelas yang disebutkan dahulu.

10. Kelas di bawah subjek umum bagi sesuatu karya yang mengandungi dua subjek atau lebih dan ianya adalah pembahagian-pembahagian kecil sesuatu subjek yang umum.


NOMBOR PANGGILAN


Definisi
Nombor panggilan adalah kombinasi simbol yang mengandungi nombor kelas, nombor buku atau nombor bahan dan kadangkala data lain, seperti tahun, nombor jilid, nombor salinan, yang menyediakan identifikasi bagi sesuatu bahan dan penempatannya di atas rak.

Gerimis / oleh Sabar Bohari

F Simbol untuk bahan fiksyen
SAB Nombor buku, tiga huruf awal dari entri utama,
Iaitu nama pengarang.

Asas belanjawan modal / Shamsher Mohamed, Shamsudin Ismail, A
Annuar Md. Nasir.

658.154 Belanjawan modal
SHA Nombor pengarang : Shamsher


SISTEM PENGKELASAN PERPULUHAN DEWEY
SENARAI RINGKASAN PERTAMA

000 KARYA AM
GENERALITIES

100 FALSAFAH & PSIKOLOGIPHILOSOPHY & PSYCHOLOGY

200 AGAMARELIGION

300 SAINS KEMASYARAKATAN
SOCIAL SCIENCES

400 BAHASA
LANGUAGE

500 SAINS TULEN & MATEMATIK
NATURAL SCIENCES & MATHEMATICS

600 TEKNOLOGI (SAINS GUNAAN)TECHNOLOGY (APPLIED SCIENCES)

700 KESENIAN
THE ARTS

800 KESUSASTERAAN & RETORIKALITERATURE & RHETORIC

900 GEOGRAFI & SEJARAH
GEOGRAPHY & HISTORY

Kelas Utama
Sistem Pengkelasan Perpuluhan Dewey mengorganisasikan semua ilmu pengetahuan berdasarkan kepada sepuluh kelas utama. Sembilan kelas mewakili sembilan bidang ilmu pengetahuan umum, dan satu kelas untuk bahan-bahan yang umum seperti enciklopedia, suratkhabar dan terbitan berkala.

Buku-buku fiksyen tidak diberi nombor kelas dan ditandakan dengan simbol “F” sahaja.

Saturday 11 February 2012

MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH 2012

7 Feb 2012- Pertandingan merentas desa peringkat sekolah telah dijalankan di Kampung Pinang. Pertandingan ini hanya disertai oleh murid tahap 2 sahaja iaitu tahun 4, 5, dan 6 sahaja. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh NYDP Sekolah  Kebangsaan Lereh.


Tuesday 11 October 2011

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH

TARIKH   : 11 OKTOBER 2011

PENGENALAN

    Kematian adalah satu kepastian yang akan dilalui oleh setiap makhluk yang bernyawa sepertimana firman Allah s.w.t maksudnya: " Setiap yang bernyawa pasti akan mati". Oleh itu menjadi satu kewajipan kepada umat Islam yang hidup menguruskan jenazah saudarany ayang meninggal dunia.
  Oleh yang demikian, Panitia Agama Islam & Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Lereh terpanggil untuk mengadakan satu kursus yang berkaitan dengan pengurusan jenazah yang bertujuan untuk mendidik murid Islam khususnya murid Tahun 6 tentang asas pengurusan jenazah sebagai pelengkap kepada tuntutan Fardu Kifayah dalam Islam .

OBJEKTIF
1. Memastikan  penjanaan ilmu berterusan daripada pihak sekolah kepada murid-murid selaras dengan pendidikan Islam.
2. Memastikan percambahan ilmu bukan sahaja di dalam bidang akademik, tetapi dalam ilmu yang berkaitan dengan kehidupan.
3. Memastikan murid-murid memahami dengan mendalam kaifiah atau tatacara pengurusan jenazah selaras dengan tuntutan Islam
 4. Memberi pendedahan secara langsung kepada murid-murid dalam pengurusan jenazah.




                                                                              

Sunday 21 August 2011

SALAM AIDILFITRI YANG BAKAL MENJELANG






BERHARI RAYA MENURUT SUNNAH NABI
Oleh: Amru Alhaz Bin Adnan

Setelah genap sebulan Umat Islam berhempas pulas menjalankan ibadah berpuasa, kini tibalah masanya meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Seluruh Umat Islam di Dunia dan Malaysia khususnya meraikan sambutan Eidul Fitri dengan bentuk dan adat yang berbeza,. Bagi rakyat Malaysia sambutan Eidul Fitri disambut dengan acara ziarah menziarahi sanak saudara dengan memakai pakaian yang terbaik dan cantik-cantik. Seluruh ahli keluarga berhimpun dan berkumpul bersama.  Sebaliknya Umat Islam di sebahagian Tanah Arab pula meraikan cuti  umum hari raya dengan membawa ahli keluarga keluar makan, tidak kurang juga yang pergi  berkelah dan bersiar-siar. Apa pun jenis dan cara sambutan mereka, kesemuanya pasti menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan keseronokan.

Di sebalik kemeriahan sambutan Eidul Fitri, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan tatacara menyambut  hari kebesaran. Inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa selaras dengan natijah ibadah berpuasa itu disyariatkan. Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turut sama meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Hal ini boleh dilihat dengan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Eidul Fitri  dan Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata:
"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesedaran kita selaku Umat Islam memastikan tatacara kita meraikan hari lebaran ini tidak bercanggah daripada anjuran dan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Amalan Bertakbir
Amalan bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan  Bermula sebaik sahaja terlihatnya hilal  (maghrib 1 syawal ) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi Syawal. Firman Allah S.W.T:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."   Surah al-Baqarah : 185
Ketika seluruh kaum keluarga berkumpul beramai-ramai pada malam hari raya, ramai yang melupakan anjuran bertakbir. Kita lebih selesa menonton rancangan –rancangan hiburan di kaca televisyen, tidak kurang juga  yang berkesempatan berkaraoke sehingga larut malam. Jika ditinjau di masjid-masjid sebenarnya tidak ramai yang memanfaatkan peluang yang ada menyertai jemaah malaungkan kalimah agung yang suci ini.

Satu perkata yang perlu ditekankan juga ialah anjuran Rasulullah agar Umat Islam bertakbir dengan suara yang lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat menunaikan Solat Sunat Eidul Fitri walaupun kebanyakan Umat Islam memandang remeh sunnah ini. Bertakbir dengan cara sebegini antara lain sebenarnya bertujuan menyerlahkan keagungan syiar Islam di samping menjadi contoh kesepakatan umat Islam  di mata masyarakat bukan Islam.

Lafaz Ucapan Hari Raya
Lafaz ucapan hari lebaran seperti “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin” sudah menjadi sinonim bagi Umat Islam di Malaysia. Namun, cara dan lafaz yang lebih bertepatan dalam  meneladani sunnah Baginda ialah berdasarkan apa yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan  ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”


( Kitab Fath al-Bari)

Justeru, mulai daripada syawal 1431h pada tahun ini, adalah tidak salah kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.

Etika Pemakaian
Umum mengetahui,  merupakan satu sunnah kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian terbaik dan tercantik pada hari raya. Imam Syafie menyebut di dalam Kitab al-Umm:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian."


Adapun bagi  kaum wanita pula walaupun sunnah hukumnya memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah mengelakkan diri daripada  memakai pakaian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti pakaian yang  terlalu bercorak-corak, pakaian nipis yang menampakkan bentuk tubuh badan  serta perhiasan yang berlebih-lebihan. Mereka juga dilarang sama sekali memakai wangi wangian yang berlebihan sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." ( Hadis riwayat al-Nasaai)

Realiti yang berlaku, ramai para wanita yang tidak pandai mengukur had-had dan etika pemakaian mereka ketika berhari raya sehingga ramai yang kelihatan berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Dalam keadaan ini, pahala sunnah yang diharapkan bertukar menjadi dosa jika tidak dipelihara batasan-batasannya..

Kesimpulannya, Setiap usaha dan amalan yang bertujuan meneladani sunnah merupakan batu loncatan kita mengharapkan syafaat Nabi Muhammad S.A.W. Percayalah, amalan sunnah itu dirasakan sesuatu yang asing kerana kita selaku Umat Islam sendiri yang menjadikannya asing. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma ini dapat disambut dengan penuh penghayatan dan kemeriahan  selari dengan perintah Allah dan RasulNya.

Sunday 14 August 2011

MAJLIS PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah telah selamat diadakan pada 15 Ogos 2011 di kantin Sekolah Kebangsaan Lereh. Tempat asal bagi majlis tersebut adalah di tapak perhimpunan. Tetapi memandangkan permukaan yang basah akibat  hujan  maka majlis tersebut dijalankan di kantin sahaja. Walaupun begitu suasana sambutan adalah sangat meriah. Majlis tersebut telah di lancarkan oleh Guru Besar Sk Lereh En Sulaman b. Md Mohamad. Melepaskan burung dari sangkar adalah simbol negara kita telah bebas dan merdeka.